Pernahkah anda berhadapan dengan situasi cemas, di mana kedapatan
seseorang yang berhampiran dengan anda secara tiba-tiba jatuh dan
pengsan. Mungkin ada yang pernah, dan mungkin ada yang tidak.
Walaubagaimana pun, ianya tidak mustahil akan berlaku kepada anda, dan
orang yang bermasalah itu mungkin anda tidak kenali, atau mungkin juga
di kalangan kaum kerabat dan sahabat handai yang dekat kepada anda.
Apakah kemungkinan yang berlaku Serangan Jantung beserta rentak
jantung yang abnormal (Heart Attack with Arrhythmia) atau Serangan Angin
Ahmar (Stroke). Kedua-duanya adalah suatu kemungkinan dan boleh
membawa kepada maut. Namun ada keadaannya, anda boleh melakukan sesuatu
untuk ‘merubah’ keadaan.
Apakah yang mampu anda lakukan bila berhadapan dengan situasi tersebut?.
Panggil ambulan, boleh sahaja, tapi berapa lamakah ianya akan tiba di tempat
kejadian?. Panggil doktor yang berhampiran nasib anda baik, adanya
doktor di situ. Tapi kebanyakannya yang berlaku, anda sudah terlambat,
di mana mangsa sudah menemui ajalnya di tempat kejadian.
Oleh itu, sebelum bantuan sebenar tiba,
ANDALAH yang mesti lakukan
sesuatu di peringkat awal untuk menolong mangsa tersebut. Sebelum anda
berserah kepada takdir, anda sebenarnya mampu menjadi ‘penyelamat’
dengan cara lakukan CPR kepada mangsa. Ramai antara kita yang tidak
tahu, atau pasti atau yakin untuk melakukan CPR. Bahkan yang ada sedikit
pengetahuan pun, teragak-agak untuk lakukannya, lebih-lebih lagi
memikirkan untuk melakukan adegan bantuan pernafasan ‘mulut ke mulut’.
Jadi, apa yang patut anda lakukan?.
Artikel ini akan menerangkan kaedah terkini Rawatan Awal Pemulihan
Kardio- pulmonari (CPR) untuk orang awam, semoga anda semua mampu
menjadi ‘penyelamat’. Walaupun mempelajari langkah langkah ini adalah
sebenarnya mudah dan sangat murah kosnya, tetapi sumbangan yang mungkin
akan anda berikan bila sampai masanya nanti, adalah sesuatu yang sangat
besar, dan tidak ternilai dengan wang dan harta benda.
Apakah itu CPR?
CPR atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ adalah satu kaedah rawatan
pemulihan sistem jantung (cardio) dan paru-paru / penafasan (pulmonary)
dengan cara memastikan bekalan darah dan oksigen dapat disalurkan ke
seluruh tubuh seseorang yang mengalami serangan jantung di mana ianya
telah berhenti berdenyut dan berfungsi secara normal.
CPR boleh menyelamatkan nyawa dengan membantu penerusan bekalan
oksigen ke otak, sehinggalah pesakit diberikan rawatan yang lebih
spesifik ataupun sehingga pesakit sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Terdapat perbezaan antara CPR untuk orang dewasa dan kanak-kanak,
dan artikel hanya membincangkan CPR kepada pesakit dewasa. (CPR
kanak-kanak akan dikeluarkan nanti).
Bilakah seseorang itu perlukan CPR anda?
Apabila terdapatnya seseorang yang secara tiba-tiba rebah dan pengsan,
hendaklah anda terus menggoncang tubuhnya dan bertanya “Encik…Encik…Awak
OK ke?”. Sekiranya tiada respons, iaitu samada ianya sudah tidak
bernafas atau bernafas secara abnormal, terus dapatkan bantuan seseorang
menghubungi Talian Kecemasan 9-9-9. Kemudian, anda mulakan CPR kepada
mangsa, tanpa lengah. Jadikanlah diri anda sebagai ‘penyelamat’.
Saya tak tahu CPR, macamana nak buat?
Jangan bimbang. CPR untuk orang awam seperti anda tersangatlah mudah. Anda
pasti boleh lakukannya walaupun tak pernah buat dan belajar sebelum
ini. Apa yang ada perlu lakukan
HANYALAH……. PRESS HARD AND FAST iaitu
TEKAN KUAT DAN CEPAT di atas bahagian tengah dada mangsa. Lakukan sahaja walaupun anda tak tahu tujuannya.
Menekan dada dalam istilah perubatan dipanggil ‘chest compression’.
Untuk melakukannya, pastikan mangsa dalam keadaan baring di permukaan
yang keras dan rata. Berlututlah di sisi rusuk mangsa, dan tetapkan
keadaan kedua tangan anda di mana kedua telapak tangan bertindan
menghadap ke bawah, dan jari-jari menyelangi di antara satu sama lain
(lihat rajah dibawah). Pastikan lengan anda lurus dan letakkan serta tetapkan
posisi dasar tapak tangan anda di tengah tengah dada mangsa. Lakukan
tekanan dada mangsa dengan menggunakan kekuatan berat badan anda, dan
bukannya kekuatan tangan anda. Tekanan
Dada yang anda lakukan itu
sebenarnya akan menolong mengepam jantung mangsa yang telah berhenti dan menggerakkan semula aliran darah. Tekanan yang berulang-ulang akan
memastikan pergerakan darah berterusan.
Setiap kali membuat tekanan dada mangsa, pastikan ianya tertekan ke
dalam sekurang- kurangnya 2 inci dan di antara tekanan lepaskan semula
daya yang dikenakan kepada dada supaya ianya kembali kepada kedudukan
asal. Sasarkan sebanyak 100 kali tekanan dada dalam masa 1 minit.
Teruskan tekanan dada itu sehinggalah pertolongan sampai. Jangan
bimbang tentang kemungkinan masalah pernafasan yang mungkin mangsa
alami, dan tak perlu fikirkan yang lain melainkan ‘tekanan dada’ sahaja.
Adakah semua orang akan lakukan CPR dengan kaedah yang sama?
Tidak. Mereka yang terlatih dalam bidang perubatan biasanya melakukan
CPR dengan kaedah yang agak berbeza daripada orang awam. Biasanya
mereka akan memeriksa nadi tangan dahulu sebelum melakukan CPR. Kemudian
ianya dituruti dengan 3 langkah yang mudah diingati iaitu semudah C-A-B.
“C”– “Do
Chest Compressions” – 30 tekanan dada dilakukan sebagaimana kaedah yang diterangkan di atas.
“A” – “Check the
Airway” – Saluran
Udara akan diperiksa di mana kedudukan kepala dan rahang dipastikan
sesuai untuk memudah perjalanan aliran udara. Kaedah “Dongakkan Kepala,
dan Angkatkan Rahang” adalah kaedah yang biasa dilakukan bagi memudahkan
saluran udara terbuka.
“B” – “Do rescue
Breathing” – Di
sini penyelamat akan memicit hidung mangsa hingga tertutup sepenuhnya,
dan melakukan hembusan udara dari mulut ke mulut atau menggunakan alat
yang khas. Kaedah ini membolehkan mangsa menerima lebih gas oksigen yang
masuk ke paru-parunya. Penyelamat biasanya aka memberikan bantuan
pernafasan ini sebanyak 2 kali sebelum mengulangi tataca ‘tekanan dada’
seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Kitaran ini akan berterusan
iaitu 30 tekanan dada dan 2 kali hembusan nafas, sehinggalah bantuan
ambulan sampai dan kakitangan yang telah dilengkapi dengan peralatan
yang lebih sesuai mengambil alih tugas melaksanakan CPR tersebut.
Kesimpulan
Berdasarkan Garis Panduan CPR terkini (American Heart Association 2010),
bagi mereka yang tidak biasa dan tidak tahu tentang CPR, hanya perlu
melakukan kaedah ‘Tekanan Dada’ sahaja, dan tidak perlu bimbang
memikirkan atau melakukan pertolongan pernafasan.
Kesimpulannya, masih ramai di kalangan anggota masyarakat kita ini
agak asing dengan CPR, dan bagi mereka yang pernah belajar dan ada
sedikit pengetahuan pun akan teragak-agak atau takut untuk melakukan CPR
kerana memikirkan perlunya bantuan pernafasan dilakukan. Oleh itu,
dengan sedikit perkongsian ilmu ini,
LAKUKANLAH CPR dengan kaedah
‘
HANDS-ONLY’ iaitu ‘
TEKANAN DADA SAHAJA’ kerana ianya lebih mudah dan
lebih selesa untuk dilaksanakan. Kaedah ini sangat penting untuk
meneruskan bekalan darah bagi mereka yang mengalami serangan jantung
yang menyebabkan jantungnya terhenti, dan ianya mungkin boleh
menyelamatkan nyawa mangsa.